kerawang

Nurul Huda & Zaiman Noris

12 june 201026 june 2010

6th months anniversary



Kata orang cinta adalah sesuatu yang unik kurniaan Illahi. Datangnya cinta bukan dari paksaan, perginya pula tanpa kerelaan. Cinta itu aneh. Cinta itu sukar ditafsirkan. Kadangkala manusia juga boleh lalai dan leka dek panahan cinta. Cinta itu terlalu subjektif untuk dihuraikan. Terlalu rumit untuk dimengertikan. Namun yang pasti, cinta itu indah. Seindah ia diciptakan pada awalnya.

Berbicara tentang cinta, Alhamdulillah dengan usia perkahwinan kami yang baru setahun jagung, mahu saya atau suami, masing-masing sedang mendalami erti cinta. Tanpa cinta, perkahwinan itu akan mati. Ibarat sebuah rumah tanpa penghuni. Sunyi. Sepi. Tiada seri.


Hari ini, genap enam bulan bergelar isteri kepada seorang suami, masih banyak lagi yang perlu saya pelajari. Masih tidak cukup lagi ilmu di dada untuk dikongsi. Masih ada lagi cacat dan celanya dalam usaha menjadi yang terbaik. Tetapi kerana cinta jugalah, tidak pernah terdetik sekelumit pun rasa di hati untuk berhenti terus belajar erti cinta pada seorang suami. Masih kuat lagi keinginan dalam diri untuk lebih mengenali seorang insan yang bergelar suami itu. Masih berkobar lagi di dalam diri untuk cuba menjadi seorang isteri mithali buat sang suami.


Asam garam, rencah hidup perkahwinan. Mustahil jika tiada ombak dan badai yang melanda. Tetapi kerana tembok cinta jugalah, kami masih teguh menjalani hidup sehari-hari. Masih kuat rasa cinta disemai dalam diri. Masih berusaha mencuba mendalami hati masing-masing.


Buat sang suami. Terima kasih atas layanan agung tidak terperi. Terima kasih kerana membawa tawa hari-hari. Terima kasih kerana masih kuat dan setia berdiri di sisi. Terima kasih kerana cukup memahami. Pada Allah dipohon, agar kita kekal bahagia ke syurga nanti. InsyaAllah.


Terima kasih Allah, atas rasa cinta ini.


Selamat ulangbulan ke-enam, awak. Semoga Taj Mahal cinta kita akan utuh berdiri selamanya.


heyAwak: I ♥ you.

2 comments: